mutakhir

Siasat dulu, jangan terjerat

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Artis dan selebriti perlu siasat terlebih dahulu latar belakang individu yang menawarkan suntikan modal atau dana untuk menjalankan perniagaan bagi mengelak terjebak dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berkata, ramai pihak yang mahu menjadikan artis dan selebriti sebagai rakan kongsi tetapi dalam masa sama perlu menjaga keselamatan supaya tidak dipergunakan.

"Artis yang ingin menjalankan perniagaan perlu teliti dan siasat dahulu siapa rakan niaga atau pihak yang mahu suntik dana.

"Kita tahu ramai yang mahu bekerjasama menjalankan perniagaan dengan artis. Tetapi kadang-kadang kita tak tahu siapa sebenarnya mereka terutama jika berurusan dengan orang tengah," katanya kepada Harian Metro.

Beliau diminta mengulas laporan Harian Metro berhubung taktik perdaya dan guna populariti artis untuk menjalankan kegiatan mencuci duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dikaitkan dengan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki mencuci ratusan juta ringgit dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Bagaimanapun kegiatan licik itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan Jumaat lalu.

Kes ini turut dikaitkan dengan tindakan SPRM pada Khamis lalu memanggil pasangan artis suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Menurut Zed Zaidi, artis turut menjadi sasaran sindiket penipuan yang menggunakan kepopularitian mereka untuk keuntungan mudah.

"Umumnya selebriti dianggap pelaris. Orang hanya nampak selebriti jadi ahli perniagaan tetapi tidak tahu siapa yang menyuntik dana termasuk tauke yang tujuannya untuk cuci duit.

"Apa pun siasat dahulu jika menerima tawaran. Jangan kita terjerat jebak ekonomi gelap seperti pengubahan wang haram dan rasuah," katanya.

Sementara itu katanya, Seniman sedang bekerjasama dengan SPRM dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) untuk kempen kesedaran dalam kalangan artis dan selebriti.

Katanya, kerjasama itu untuk membuat seminar, bengkel dan program yang fokusnya memberikan jati diri kepada orang seni malah persatuan terhadap hal berkaitan rasuah dan Akta AMLA SPRM 2001.

"Contohnya, sebagai persatuan, ramai juga yang jumpa saya. Kalau mereka kata nak bantu program dan sebagainya, takkan kita nak kata tak boleh, yang pentingnya mesti kita siasat.

"Kadang-kadang di depan kita jelas perniagaan yang betul pun kita tak tahu sebaliknya di belakang ada perniagaan yang salah.

"Ada juga kes tertentu, ada pihak yang mahu cuci duit dengan menggunakan platform program tanggungjawab sosial (CSR) kita, namun Seniman dapat kesan awal dan menghalang kerjasama daripada berlaku," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan latar belakang boleh dilakukan dengan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), polis dan SPRM.

"Contohnya dengan SSM, takkanlah syarikat jika baharu ditubuhkan tiba-tiba nak sumbang sejuta ringgit, peliklah sikit.

"Jika amaun kecil mungkin kita tak perlu nak siasat sangat sebab contohnya sumbangan ribuan ringgit memang satu perkara biasa," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 2:23pm
d