mutakhir

Pencemaran air: Pemilik ladang dan kilang akan didakwa [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Beberapa pemilik ladang ternakan dan kilang di kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan yang dikenal pasti punca pencemaran air di Sungai Semenyih dan Sungai Langat akan didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang menyiapkan kertas siasatan untuk membawa mereka ke muka pengadilan selepas didapati menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak 4.30 petang semalam.

"Kita sedang berusaha mengenal pasti tempat (pencemaran) termasuk lokasi penemuan terbaru sisa kumbahan organik dari kilang di kawasan Perindustrian Nilai dan akan mengambil tindakan perundangan terhadap mereka.

"Pihak kami sedang berusaha menyiapkan beberapa (kertas) siasatan hari ini dan mendakwa mereka terbabit, pastinya ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), polis dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Dr Zaini berkata, untuk tempoh jangka panjang, pihaknya kini sedang mengkaji akta baharu untuk mendakwa mereka yang menyebabkan loji rawatan air ditutup.

"Bagi memastikan tindakan jangka panjang, kami akan melihat semula akta tersebut yang memberi tumpuan kepada kesalahan menyebabkan loji rawatan air ditutup. Ia berikutan akta sedia ada sekarang tidak mempunyai peruntukan itu.

"Selain itu, kita akan menggerakkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar yang ditubuhkan pada 1 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, KASA akan membina beberapa takungan air pinggir sungai seperti sedia ada di Semenyih.

"Di Semenyih ada dua fasa takungan air pinggir sungai iaitu fasa pertama membekalkan air ke Putrajaya, Sepang, Hulu Selangor berkapasiti 630 juta liter sehari (mld) untuk bekalan 2.5 juta pengguna.

"Bagi fasa kedua pula berkapasiti 100 mld dibekalkan kepada penduduk Bangi dan sekitarnya. Projek ini memerlukan perbelanjaan besar sekitar puluhan bilion dan mengambil masa setahun dua untuk siap," katanya.

Dr Zaini turut mengesahkan ladang ternakan angsa dan itik serta kawasan perindustrian di Negeri Sembilan disyaki punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat dekat Selangor.

Dua lokasi punca pencemaran itu masing-masing dikatakan di Kawasan Perindustrian Nilai 3 serta sebuah ladang ternakan itik dan angsa dekat Pajam, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, empat kumpulan dibentuk bagi mengenal pasti punca pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak 4.30 petang semalam.

Katanya, empat kumpulan itu dibentuk hasil mesyuarat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan pagi tadi dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Veterinar dan Jabatan Perikanan.

"Hasil mesyuarat itu sebanyak 21 premis disenarai pendek untuk siasatan," katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menyatakan siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Pencemaran bau di Sungai Semenyih dikesan 4.30 petang semalam kini berada pada tahap 5 TON di muka sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di muka sauk LRA Sungai Semenyih.

Susulan itu, berlaku gangguan bekalan air membabitkan 283 kawasan terjejas dan membabitkan 309,605 akaun pengguna.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 2:59pm
d