mutakhir

Sembilan kes positif Covid-19 Kelantan stabil

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sembilan kes positif Covid-19 di Kelantan yang direkodkan sehingga semalam, termasuk pesakit bayi 17 bulan berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, empat daripada kes itu mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, manakala pesakit lain adalah kontak rapat.

Katanya, pihaknya kini aktif mengumpul sampel kontak rapat mereka yang positif wabak itu.

"Kelantan sudah bebas Covid-19 selama 57 hari, sebelum kes terbaharu dicatatkan pada 23 September dan sehingga semalam, sudah merekodkan sembilan kes.

"Kita sudah mengambil pendekatan awal dengan mengesan kontak rapat dan hingga kini lebih 1,000 sampel diambil, termasuk mereka yang pulang dari Zon Merah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dr Zaini berkata, mereka yang positif tidak menunjukkan sebarang simptom dan dilapor stabil.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mencegah penularan wabak dan mengambil serius amalan norma baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 3:40pm
    d