mutakhir

979 ingkar PKPP semalam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 979 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam dengan 944 daripadanya dikompaun manakala 32 direman dan tiga dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan paling tinggi dilakukan ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 516, gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (277), tidak memakai pelitup muka (163).

Katanya, kesalahan lain adalah premis beroperasi lebih masa (10), aktiviti pub dan kelab malam (7), premis beroperasi tanpa lesen (2), langgar perintah kuarantin (2), enggan membuat saringan Covid-19 (1) serta keluar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (1).

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, 48 pendatang asing tanpa izin (Pati), dua tekong dan empat penyeludup ditahan selain merampas tujuh kenderaan.

Katanya, sebanyak 101 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara semalam yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, beliau berkata, seramai 38,321 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) sejak 24 Julai sehingga 4 Oktober.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,698 individu menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 29,517 individu discaj," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, semalam sebanyak 13 operasi sanitasi meliputi dua zon merah, dua zon kuning dan enam zon hijau membabitkan lima negeri antaranya Kedah (4 operasi), Pulau Pinang (4 operasi), Sabah (3 operasi), Sarawak (1 operasi) dan Terengganu (1 operasi).

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 4:00pm
d