mutakhir

Kawasan belukar disyaki lokasi utama pencemaran

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Lokasi utama yang disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dikenal pasti di belukar di pinggir kawasan industri Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah bahan buangan serta bahan sebatian organik yang tersisa ditemui di lokasi tapak oleh Ketua Setiausaha KASA, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengarah Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, polis dan Syarikat Air Selangor, hari ini.

"Bau busuk bahan buangan yang ada adalah hampir menyerupai bau yang menjadi punca LRA Sungai Semenyih henti tugas sejak semalam.

"Sebanyak enam sampel tanah diambil JAS Negeri Sembilan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia manakala Majlis Bandaraya Seremban serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan membersihkan sisa pukal di lokasi berkenaan hari ini," katanya.

Menurutnya, kawasan pembuangan sisa organik ini dikawal rapi oleh JAS Negeri Sembilan dan polis.

"Sisa buangan haram yang dijumpai ini disyaki diuruskan oleh syarikat tidak berdaftar dan siasatan oleh polis, SPAN dan JAS akan merujuk kepada penemuan di kawasan ini sebagai sumber sekunder.

"Pihak Pengurusan Air Selangor belum dapat memulihkan bekalan disebabkan kesan bau yang masih kuat (7 hingga 8 TON) namun sedang berusaha untuk memulihkan bekalan secepat mungkin apabila kesan bau dapat dikurangkan kepada 0 TON," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 4:08pm
d