mutakhir

Hajat tak sampai

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Arwah nak sangat beli rumah dan ajak makcik tinggal bersamanya," kata Fatimah Ismail, ibu kepada Muhammad Solihin Mahamad, 24, bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat serangan jantung pada 24 September lalu.

Fatimah, 64, berkata, pemergian anak bongsu daripada lapan beradik itu mengejutkan keluarga kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tanda dia akan meninggalkan mereka.

Katanya, sebelum ini arwah tidak pernah mengalami sebarang penyakit, malah pada petang hari kejadian, arwah bermain bola di padang bersama rakan sekampung.

"Arwah keluar ke stadium jam 8.30 malam dan sebelum keluar dia sempat makan nasi lemak.

"Anak makcik, Mohd Hamzah Muhammad, 33, menerima panggilan dari rakan arwah sebelum menghubungi makcik memberitahu Solihin rebah di padang dan dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin di rumahnya di Kampung Bukit Depu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Fatimah berkata, arwah banyak membantu keluarga sejak bermain bola sepak dan kini bekerja secara kontrak dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Katanya, sejak bapanya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, arwah banyak membantu keluarga termasuk membeli barangan keperluan dapur.

Muhammad Solihin yang pernah mendapat tawaran menyarung jersi pasukan Liga Super Selangor musim lalu rebah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ketika aksi persahabatan pada 22 September lalu.

Arwah rebah sebelum muntah dan pengsan di padang selepas kira-kira 20 minit beraksi mewakili pasukannya, Gong Parit FC menentang Tualang FC pada aksi persahabatan dan dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu.

Selepas tiga hari dirawat di HSNZ, arwah yang masih bujang menghembuskan nafas terakhirnya dan disahkan akibat serangan jantung.

Berita berkaitan

Solihin meninggal dunia akibat serangan jantung

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:36pm
d