mutakhir

UPNM tangguh kemasukan pelajar

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menangguhkan pendaftaran serta kemasukan pelajar baharu program Sarjana Muda dan pelajar lama secara fizikal bagi sesi akademik 2020/2021.

UPNM menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta mengambil kira perkembangan kes Covid-19 yang kian meningkat.

"Sejajar dengan penangguhan pendaftaran secara fizikal yang dijadualkan 3 dan 4 Oktober lalu, UPNM memilih melaksanakan pendaftaran pelajar secara atas talian membabitkan 920 pelajar Sarjana Muda.

"Daripada jumlah itu, seramai 58 penuntut awam sudah mendaftar secara fizikal memandangkan mereka datang dari jauh serta berada di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, pendaftaran dan proses penempatan 58 penuntut berkenaan adalah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan berpandukan saranan KPT.

"Mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian akan diteruskan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa Covid-19.

"Ini termasuklah program khas atas talian untuk pelajar baru. Pelajar dibenarkan kembali ke kampus sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, kakitangan UPNM diminta menangguhkan sebarang lawatan atau perjalanan ke kawasan zon merah.

"Bagi kakitangan yang baru pulang daripada kawasan berisiko tinggi, mereka perlu memaklumkannya dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.

"Jawatankuasa Bertindak Covid-19 UPNM turut ditubuhkan bagi memantau dan menyelia pandemik ini menerusi Bilik Gerakan Covid-19 yang diselia kakitangan UPNM," katanya.

Kenyataan itu berkata, pensyarah dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPNM juga bergerak aktif dalam memberikan sokongan moral serta bantuan kebajikan kepada pelajar terjejas.

"UPNM juga mengucapkan terima kasih atas usaha syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air yang menyediakan kemudahan penukaran tarikh penerbangan tanpa had.

"Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi nombor hotline Bilik Gerakan UPNM di talian 019-3523400," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 7:51pm
d