mutakhir

'Saya tak fikir apa-apa ketika terjun...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kajang: "Saya tidak fikir apa-apa ketika terjun ke dalam kolam itu untuk menyelamatkan mereka sehingga nawaitu saya jika hendak mati biarlah mati bersama," kata peniaga kedai makan, Badruzzaman Borhanudin, 27.

Dia sanggup menggadai nyawa terjun ke dalam kolam tadahan air untuk menyelamatkan dua beradik yang lemas di Jalan Cheras Prima, Kajang, di sini, petang semalam.

Badruzzaman yang berniaga makanan di gerai berhampiran kawasan itu berkata, dia yang sedang memasang khemah untuk mula berniaga didatangi wanita di sebelah kedai memberitahu terdapat kanak-kanak lemas.

Menurutnya, dia kemudian terus ke kolam itu yang terletak 100 meter dari kedainya dan pada mulanya tidak menemui mereka ketika terjun kali pertama.

"Saya kemudian memanjat pokok sebelum ternampak rambut si kakak menyebabkan saya terjun sekali lagi untuk menarik mangsa ke tebing.

"Selepas itu, saya terjun kali kedua untuk menarik adiknya pula dengan turut dibantu seorang lagi orang awam yang kebetulan lalu di kawasan itu," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik, Hospital Kajang malam tadi.

Katanya, sewaktu diselamatkan kakak masih bernyawa, namun lemah, sementara adiknya sudah kebiru-kebiruan.

Portal Harian Metro melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan kanak-kanak lelaki, 8, ditemui lemas dalam kolam tadahan air hujan di Jalan Cheras Prima, Taman Sutera, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.05 petang dan tiba di lokasi 5.21 petang.

Berita berkaitan

2 budak lemas

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 8:27am
d