mutakhir

Covid-19: Pasar Besar Jitra tutup hingga Khamis

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Semua aktiviti perniagaan melalui gerai jualan terbuka dan tertutup di Pasar Besar Jitra ditutup mulai semalam sehingga Khamis ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MDKP), Azmin Zainol berkata, arahan penutupan dan menghentikan operasi perniagaan itu turut membabitkan gerai buah, pasar pagi, perhentian bas dan tandas awam di Pekan Jitra 2.

"Merujuk kepada penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di Kedah dan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), arahan ini dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu.

"Sehubungan itu, semua jenis pasar dan gerai yang disebut termasuk perhentian bas dan tandas awam di Pekan Jitra 2 ditutup bermula 5 petang semalam sehingga 12 tengah malam Khamis ini," katanya dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, arahan itu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan peniaga dan orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19 dengan lebih meluas.

Katanya, MDKP sangat mengharapkan kerjasama semua pihak bagi membendung penularan wabak dengan lebih berkesan.

"Sekiranya terdapat peniaga gagal atau ingkar arahan ini, penguatkuasaan serta tindakan boleh diambil menurut undang-undang yang diperuntukkan.

"Penguatkuasaan boleh dijalankan bersama pihak polis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, Akta Polis 1967 serta undang-undang kecil MPKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 9:36am
    d