mutakhir

Enam syarikat telekomunikasi dikompaun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun terhadap enam syarikat telekomunikasi yang melakukan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa pengesahan maklumat pengguna pada 2019.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, kompaun bernilai lebih RM700,000 itu dikeluarkan pada 1 Oktober lalu.

Menurut kenyataan, kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Tindakan yang diambil itu mencerminkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara selain memastikan proses pendaftaran kad SIM prabayar mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.

Selain itu, katanya, SKMM turut mengambil tindakan proaktif antaranya pendaftaran kad SIM menggunakan platform automatik adalah sulit dan terjamin serta penyediaan perkhidmatan juga tidak akan mendaftar setiap pelanggan lebih daripada lima kad SIM seorang.

SKMM tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 12:39pm
d