mutakhir

Nor Aqilah dijangka keluar hospital petang ini

Oleh Audrey Dermawan

Georgetown: Mangsa tunggal yang terselamat dalam insiden keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan dijangka dibenar pulang ke rumah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya dimaklumkan Nor Aqilah, 21, dalam pemantauan doktor di wad Melur, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan menunggu untuk didiscaj.

"Hari ini, Nor Aqilah menjalani pemeriksaan mata dan doktor merawatnya memaklumkan penglihatannya bertambah baik tetapi perlu mengambil ubat serta menjalani rawatan susulan.x

"Malah dia juga tidak memerlukan fisioterapi kerana sudah boleh berjalan seperti biasa. Menurut pegawai perubatan, dia mungkin akan discaj petang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 16 September lalu, kembar Nor Aqilah iaitu Nor Adilah dan dua lagi rakan mereka, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dalam kenderaan akibat keracunan karbon monoksida.

Nor Aqilah satu-satunya mangsa terselamat dilapor kritikal dan dikomakan untuk rawatan Terapi Oksigen Hiperbarik (HBOT)

Khamis lalu, dia dimaklumkan mengenai kematian kembar dan rakannya, yakni enam hari selepas sedar daripada koma.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 3:44pm
d