mutakhir

Manuskrip sains dan matematik tamadun Melayu abad ke-17 ditemui [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Serdang: Sekumpulan penyelidik etnomatematik negara berjaya menjejaki 34 manuskrip silam abad ke-17 yang menyimpan hasil penyelidikan sains dan matematik tamadun Melayu.

Etnomatematik yang diperkenalkan di Eropah pada 1970-an adalah kajian matematik yang lahir dalam budaya dan etnik sesuatu kaum.

Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (Inspem) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin berkata, manuskrip yang dikumpul sejak 2002 itu diperoleh bermula dari Malaysia, Acheh, Indonesia dan Champa, Kemboja.

Katanya, khazanah berkenaan disimpan dalam bentuk digital dan masih dalam proses abstrak dan transliterasi maklumat daripada tulisan Melayu silam dan jawi.

"Inspem mula menjejaki manuskrip ini sejak 2002 dari koleksi Perpustakaan Negara dan seluruh negara sebelum ke Acheh dan Kemboja.

"Hasilnya, kita berjaya mengumpul 34 manuskrip Melayu berlatar belakangkan bidang matematik.

"Antara cabaran menjejaki manuskrip ini ialah kita perlu baca dan memahami tulisan Melayu lama dan jawi yang mengambil masa panjang," katanya dalam sidang akhbar di Inspem hari ini.

Turut hadir, Felo Penyelidik Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain dan Penyelidik Bersekutu Inspem, Prof Madya Dr Sharifah Kartini Said Husain.

Muhammad Rezal berkata, manuskrip berkenaan akan menjalani proses penyelidikan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan minat pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.

"Perancangan 34 manuskrip ini akan digunakan sebagai asas menjawab masalah STEM yang biasa disebut peringkat kementerian bagaimana kita mahu meningkatkan minat pelajar dalam bidang ini.

"Apabila kita dapat abstrak semua maklumat berkaitan sains dan matematik (dalam manuskrip) kita akan majukan kepada kementerian untuk dijadikan sebahagian bahan untuk pelajar garap di peringkat sekolah.

"Penemuan ini akan membantu meningkatkan jati diri sesuatu bangsa supaya generasi akan lebih memahami mengenai susur galur mengenai ilmu sains dan matematik dalam tamadun kita sendiri," katanya.

Katanya, Inspem membuka tawaran kepada mana-mana penyelidik tempatan supaya bergabung dalam projek penyelidikan manuskrip ini.

"Semua manuskrip ini akan diberikan kepada penyelidik yang berminat untuk mengkaji keupayaan sains dan matematik Melayu untuk memperhebatkan jati diri saintifik rakyat Malaysia dan dijadikan inspirasi kepada generasi sekarang dan masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 4:03pm
d