mutakhir

Bangun unit kediaman Bumiputera di bandar [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan terus membangunkan unit kediaman dan perniagaan khusus untuk golongan Bumiputera di bandar bagi menjamin kelangsungan golongan berkenaan dalam kawasan terbabit.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah itu dilakukan menerusi PIJ Holdings Sdn Bhd yang juga anak syarikat kerajaan negeri.

Katanya, menerusi PIJ Holdings, Taman Perbadanan Islam (TPI) dibangunkan di atas tanah rizab Melayu bagi menjamin orang Melayu di negeri ini mampu memiliki hartanah dalam kawasan bandar.

"Tahniah kepada PIJ Holdings kerana komited dan berjaya melaksanakan projek ini untuk menyediakan rumah mampu dimiliki khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Walaupun namanya rumah mampu biaya tetapi kualitinya amat bermutu tinggi setanding rumah kos sederhana dan mewah yang dibangunkan oleh pemaju swasta.

"TPI Stulang Baru ini adalah TPI keempat yang dibangunkan oleh PIJ Holdings selepas TPI pertama dibangunkan di Kebun Teh, 30 tahun lalu. Komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh PIJ Holdings harus dijadikan contoh terbaik.

"PIJ Holdings bercadang membina beberapa lagi TPI di beberapa lokasi strategik bermula tahun hadapan iaitu TPI Teluk Permata, TPI Pontian, TPI Rengit dan TPI Bakar Batu," katanya ketika berucap pada Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya C, Penyampaian Sijil Layak Memiliki Rumah dan Penyampaian Sijil Layak Penyewaan di TPI Stulang Baru, di sini, hari ini.

TPI Stulang Baru membabitkan pembangunan Rumah Mampu Biaya Johor Jenis A (120 unit), B (99 unit) dan C (108 unit) dengan harga maksimum RM150,000 selain inkubator empat tingkat (43 unit) sebagai unit perniagaan untuk usahawan Bumiputera.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:19pm
d