mutakhir

Covid-19: Kluster Batu, Kluster Ramai-Ramai pula dikesan

Oleh Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baru di Perak dan Sabah iaitu Kluster Batu dan Kluster Ramai-Ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Batu dikenal pasti di Taiping, Perak yang mana hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

Menurutnya, hasil saringan mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 semalam dan mereka semua dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 860 individu disaring iaitu tujuh positif, 182 negatif dan 671 masih menunggu keputusan.

"Kluster Ramai-Ramai dikenal pasti di Sandakan, Sabah yang mana kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12,161) adalah seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September lalu," katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes dikesan positif Covid-19 pada 3 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini membabitkan warga negara Malaysia.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 166 individu disaring iaitu 20 dikesan positif Covid-19 dan 146 individu masih menunggu keputusan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 6:24pm
    d