mutakhir

Mampu duduk kondo mewah hasil jual dadah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua pengedar dadah yang menjadikan kondominium mewah sebagai 'sarang' kegiatan diberkas polis hasil serbuan mengejut malam tadi.

Difahamkan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi melakukan serbuan di kediaman mewah itu di Jalan Sultan Ismail, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, dua lelaki berusia 30 ke 40 tahun diberkas dalam serbuan jam 8 malam itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dijalankan, pihak polis merampas dadah disyaki heroin seberat 1,180 gram bernilai RM13,200.

"Jumlah rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada 800 pengguna dadah.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine," katanya tadi.

Mohd Fahmi berkata, suspek didapati mempunyai rekod lampau kes dadah dan polis turut merampas wang hasil jualan dadah sebanyak RM200 dan sebuah kenderaan kereta mewah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 8:06pm
d