mutakhir

'Syukur Allah SWT lindungi kami apabila rumah dijilat api'

Oleh Rosli Ilham

Dungun: "Syukur Allah SWT lindungi kami, kerana-Nya kami empat beranak terselamat selepas rumah hangus terbakar," kata Norlida Abdul Wahab, selepas kediamannya di Kampung Sura Hujung di sini, musnah terbakar jam 4 pagi tadi.

Ketika kejadian, Norlida, 39, bersama tiga anaknya berusia tujuh hingga 12 tahun sedang tidur.

"Allah SWT kejutkan saya ketika itu dan saya terasa bahang dalam bilik tidur sedangkan pada malam itu, hujan sangat lebat.

"Saya bangun untuk ke bilik air dan ketika turun ke dapur, saya terkejut melihat api membakar sebahagian dinding dapur," katanya ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dia terus mengejutkan anak-anaknya sebelum membawa mereka menyelamatkan diri.

"Ketika kejadian, suami, Zulkifli Mohamad, berusia 52 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, sedang bertugas di sebuah tapak projek perumahan.

"Saya meminta bantuan jiran namun jiran gagal membantu kerana api marak dengan cepat.

Menurutnya, berikutan kejadian, keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 4.12 pagi dan tiba sembilan minit kemudian.

Menurutnya, pihaknya dapat mengawal api daripada merebak dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya jam 6.23 pagi.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2020 @ 9:01pm
d