mutakhir

PPj jamin selesaikan masalah di PPAM Melinjau

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi jaminan masalah di Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau, di Presint 11, di sini, akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, bagaimanapun proses pembaikan semula bangunan berkenaan hanya boleh dilaksanakan selepas pihaknya menerima senarai kerosakan di unit terbabit.

Katanya, pihaknya turut membahagikan permasalahan yang dihadapi penduduk kepada tiga kategori iaitu struktur bangunan, kawasan gunasama (common area) dan unit kediaman individu.

"Bagi kategori struktur binaan, PPj meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat pemeriksaan dan pengesahan struktur di bangunan berkenaan.

"Kategori kedua iaitu kawasan gunasama pula, PPj bersama Persatuan Penduduk Melinjau akan mengenalpasti serta menyenaraikan segala kerosakan dalam tempoh seminggu.

"Selepas mengenalpasti segala permasalahan, PPj akan mengaturkan perbincangan bersama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemaju iaitu Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd untuk perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Azmi berkata, kerja-kerja pembaikan dibahagikan kepada dua peringkat iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

"Bagi kerosakan kecil, kerja pembaikan semula akan dilaksanakan dalam kadar segera dengan pihak pemaju.

"Selain itu untuk kecacatan atau kerosakan di unit kediaman individu, proses pembaikan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak pemaju berdasarkan senarai aduan kecacatan atau kerosakan yang dikemukakan oleh pemilik unit kediaman," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pemilik PPAM Melinjau tidak berpuas hati dengan keadaan rumah mereka walaupun ia sudah siap dibina sejak tiga tahun lalu.

Pemilik turut mendakwa pemaju masih gagal menyerahkan unit rumah mampu milik itu dalam keadaan sempurna daripada segi binaan mengikut spesifikasi pembinaan.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 10:51am
d