mutakhir

Mayat mengiring dalam kereta

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang lelaki ditemui mati dalam Proton Wira di hadapan rumahnya di Sungai Lalang, Bedong, di sini, semalam.

Mangsa, Lim Tian Poh, 52, yang juga tukang masak ditemui dalam keadaan mengiring di tempat duduk penumpang hadapan kenderaan itu pada jam 4 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, berdasarkan siasatan, anak mangsa memaklumkan bapanya keluar bersama rakannya pada 10.30 malam kelmarin untuk minum.

Beliau berkata, disebabkan mabuk, rakannya kemudian menghantar mangsa pulang ke rumah namun dia tidur di dalam kereta yang diletakkan di luar pagar rumah.

"Anak mangsa kemudian memaklumkan dia ternampak bapanya berada dalam kereta kira-kira 7.30 pagi ketika dia hendak keluar bekerja.

"Anaknya cuba mengejutkan mangsa dan ketika itu dia masih hidup dan sempat memberitahu anaknya yang dia hendak berehat dulu dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, anaknya kemudian terus ke tempat kerja dan tidak lama kemudian jiran mereka ternampak kereta mangsa diparkir dengan keadaan enjin sudah dimatikan.

Beliau berkata, jiran itu kemudian ternampak mangsa terbaring dan mengesyaki sudah meninggal dunia lalu terus menghubungi pihak hospital dan polis.

"Menurut anaknya, mangsa juga mempunyai rekod rawatan namun tidak pasti penyakit yang dialaminya.

"Hasil siasatan juga dapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada si mati malah dompet dan telefon bimbit juga masih ada padanya selain tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuhnya," katanya.

Shamsudin berkata, lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan disahkan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 11:23am
d