mutakhir

Teliti keperluan buka kertas siasatan terhadap MB Selangor

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Cheras: Polis akan meneliti jika ada keperluan untuk membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang melanggar perintah kuarantin Covid-19 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih meneliti kes berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan.

"Setakat ini, kita belum terima laporan berhubung kes itu tetapi kita akan meneliti perkara itu.

"Beliau (Amirudin) sudah memohon maaf menerusi media sosial berkaitan pelanggaran perintah kuarantin itu dan jika ada keperluan, kita akan buka kertas siasatan," katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Acryl berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang tetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri semalam, tiada sesiapa terkecuali daripada siasatan dan tindakan termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan.

"Polis akan lebih tegas dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

Pada 29 September lalu, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan Amirudin disahkan bebas Covid-19 selepas menjalani kuarantin di rumah bagi mematuhi arahan KKM sebaik kepulangan beliau dari program di Sabah.

Keputusan itu hasil daripada ujian RT-PCR (Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction) yang dijalankan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 28 September lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 11:58am
    d