mutakhir

Petugas media di Kelantan negatif Covid-19

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Sebelas petugas media di Kelantan disahkan negatif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan semalam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, kesemua petugas media berkenaan menjalani ujian secara sukarela kerana menjadi kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Kesemua petugas media itu membuat liputan program yang dihadiri Zulkifli di Dewan Jubli Perak, di sini, pada 25 September.

Dr Zaini berkata, keputusan ujian saringan itu diketahui pagi ini, selepas mereka menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, dekat sini, semalam.

"Susulan keputusan itu, semua petugas media terbabit tidak perlu menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Isnin lalu, Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Justeru beliau menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober, supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 1:15pm
    d