mutakhir

Guna artis 'cuci duit' haram, anggota polis IPK Selangor ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahauddin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipercayai terbabit dalam sindiket `cuci duit' dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.

Sumber berkata, anggota berkenaan dipercayai kenalan kepada lelaki bergelar 'Datuk' yang ditahan sebelum ini.

"Dia ditahan tengah hari tadi di IPK Selangor selepas keterangan diambil Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Anggota berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung siasatan kes berkenaan dan pembabitannya di dalam kumpulan sindiket itu," katanya kepada Harian Metro.

Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan 'mencuci' duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 3:04pm
d