mutakhir

Petugas KKM sibuk di Penjara Reman Pulau Pinang [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tenang dan terkawal. Demikian keadaan di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hari ini susulan kematian tahanan akibat Covid-19, semalam.

Tinjauan Harian Metro di perkarangan penjara terbabit mendapati, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia di lokasi seawal jam 9 pagi.

Kehadiran mereka dipercayai bagi melakukan ujian saringan Covid-19 kepada tahanan dan kakitangan penjara berkenaan.

Kenderaan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib turut dilihat memasuki kawasan penjara.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 85 tahun yang juga tahanan di penjara berkenaan meninggal dunia.

Sementara itu, penduduk berhampiran, Ahmad Bakri Aziz, 65, berkata, dia mengetahui berkaitan kematian tahanan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, biarpun risau namun dia yakin dengan kecekapan KKM dalam mengatasi penularan Covid-19.

"Rumah saya terletak bersebelahan dengan penjara, sudah tentu ada kebimbangan.

"Kami sekeluarga hanya keluar daripada rumah sekiranya ada urusan penting sahaja," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 3:07pm
d