mutakhir

Didakwa tumbuk kakitangan kesihatan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menumbuk kakitangan kesihatan yang sedang menjalankan tugasnya.

Tertuduh, Amran Mohamed, 46, dari Kuala Berang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya di sebuah kedai makan di Kuala Berang, Hulu Terengganu jam 9 pagi pada 5 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa saja bentuk komunikasi sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang sedang menghisap rokok di dalam kedai makan dikatakan ditegur mangsa yang sedang menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tempat awam.

Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan teguran itu bertindak menumbuk mangsa sehingga mendatangkan kecederaan di beberapa bahagian anggota badannya.

Selain itu, tertuduh yang merokok di kawasan larangan merokok iaitu di kedai makan turut dikenakan kompaun melalui Notis Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah (Notis Di Bawah Seksyen 32B) kerana merokok di tempat larangan merokok mengikut Peraturan 11 (1)(d).

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 3:42pm
d