mutakhir

Hanya kerana RM200, tiga tahun huni penjara

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Terdesak untuk membaiki motosikalnya yang rosak, seorang penganggur bertindak merompak RM200 milik seorang lelaki warga Bangladesh.

Tindakannya itu menyebabkan lelaki terbabit, Nasrol Nizam Vira, 20, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 4 Oktober lalu.

Ketika ditanya Emilia Kaswati punca dia melakukan kesalahan itu, tertuduh memberitahu dia terdesak untuk membaiki motosikalnya yang rosak.

Nasrol Nizam didakwa merompak pekerja pembersihan Alom Mohasin, 26, dengan mengambil wang RM200 di bawah blok di sebuah Flat Sri Pulau Pinang di sini pada 9 pagi, 4 Oktober lalu.

Susulan itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan tindakan tertuduh melakukan rompak hanya untuk mendapatkan wang bagi membaiki motosikal bukan satu keperluan terdesak manakala Nasrol Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menjaga ibunya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 3:49pm
d