mutakhir

Ugut ibu tagih hutang anak

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Ugut ibu untuk tagih hutang anak. Itu tindakan dilakukan seorang ceti haram atau Ah long yang memeras ugut seorang wanita supaya membayar hutang anaknya.

Bagaimanapun, helah suspek yang turut menyembunyikan anak wanita terbabit di sebuah hotel bajet di Teluk Panglima Garang, Klang terbongkar selepas dia ditahan pihak polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan wanita berusia 54 tahun memaklumkan menerima panggilan daripada Along pada 5.15 petang semalam.

"Wanita itu yang juga pembantu setiausaha di sebuah syarikat swasta memaklumkan suspek lelaki itu memintanya menyerahkan wang tunai RM25,000 jika mahu anak lelakinya berusia 25 tahun dilepaskan.

"Menurut mangsa, anaknya mempunyai masalah hutang dengan beberapa Ah long sebelum ini, namun sudah membuat pembayaran sebanyak RM150,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, anak wanita itu kemudian membuat pinjaman lain daripada suspek berusia 36 tahun sebanyak RM8,000 tetapi sudah membuat pembayaran RM7,000.

"Namun, suspek tidak berpuas hati dan datang ke rumah lelaki terbabit yang juga penganggur serta gemar bermain judi dalam talian untuk meminta bayaran sebanyak RM18,000.

"Bertindak atas maklumat, kami menyerbu sebuah hotel bajet di Teluk Panglima Garang, Klang pada 2.45 pagi tadi dan berjaya menyelamatkan lelaki berkenaan yang disembunyikan di situ," katanya.

Katanya, susulan itu, pihaknya menahan suspek dipercayai dalang dalam kejadian berkenaan pada 4.10 pagi tadi.

"Kami turut merampas lima telefon bimbit, sebuah tablet, satu beg sandang, tiga buku cek, tiga cop dan sebuah kereta Toyota Vios.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 4:48pm
d