mutakhir

Sanggup membujang demi abang, kakak OKU

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rantau: Demi kasih sayang kepada abang dan dua kakak, seorang wanita sanggup mengenepikan hasrat untuk mendirikan rumah tangga untuk menjaga ketiga-tiga mereka yang juga orang kurang upaya (OKU).

Nor Hasnah Mohd Isa, 58, berkata, abang Mohd Ghazali 61, dan dua kakaknya Noorsham 63, serta Sharipah 66, dikategorikan OKU mental memerlukan penjagaan rapi.

Katanya, dia mempunyai lima adik-beradik lain, tetapi abang sulung Zainudin, 67, meninggal Januari lalu akibat asma, dan Norijah, 59, meninggal dunia ketika dalam tidur Mac lalu.

"Kini, saya hanya ada dua kakak dan seorang abang yang memerlukan penjagaan rapi.

"Saya tidak akan jemu mencurahkan kasih sayang kepada mereka kerana kami sudah lama hidup bersama," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya di Kampung Belankan, di sini, semalam.

Nor Hasnah berkata, Noorsham turut menghidap kanser payu dara dan baru menjalani pembedahan di mata pada 18 Ogos lalu di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Katanya, mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk menampung kehidupan mereka empat beradik.

"Saya hanya menerima bantuan bulanan daripada JKM sebanyak RM270 sebulan dan mereka menerima RM250 sebulan, bantuan itu hanya cukup untuk kami empat beradik.

"Jika Noorsham dan Mohd Ghazali ada pemeriksaan lanjutan di HTJS, saya terpaksa menyewa teksi yang menyebabkan belanja bulanan kami terjejas.

"Kadang-kadang saya terpaksa berhutang dengan pemandu kereta sewa, kini hutang saya sudah hampir RM200, jika ada duit saya bayar secara beransur-ansur," katanya.

Nor Hasnah berkata, kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKASIH N9 dan Skuad Al Baasith Negeri Sembilan untuk memberi bantuan memberi kelegaan kepadanya.

Katanya, mereka menyumbang barangan makanan dan wang tunai serta set katil dan tilam.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya sudah membantu keluarga ini sejak beberapa tahun lalu kerana mereka memang memerlukan bantuan berterusan.

"Setiap kali kami tiba, nampak kegembiraan di wajah mereka, malah tidak sabar bercerita pelbagai masalah... minum pun minta disuapkan.

"Kami kagum ketabahan dan kecekalan Nor Hasnah dan berharap Allah memberikan kekuatan dan kesihatan kepadanya supaya dapat menjaga kakak dan abangnya dengan baik," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 5:05pm
d