mutakhir

Aimy Zahra Nasuha solat hajat setiap malam mohon bebas Covid-19

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: "InsyaAllah, saya bebas daripada Covid-19. Setiap malam saya dan ibu menunaikan solat hajat semoga dijauhi daripada penyakit ini," kata Aimy Zahra Nasuha Saiful Jefri.

Aimy Zahra Nasuha, 7, yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting di sini, sedang menjalani kuarantin di Institut Pendidikan Guru Datuk Razali Ismail, Batu Rakit.

Aimy Zahra Nasuha ditemani ibunya, Hasmida Hassan, 35, diarah menjalani kuarantin bersama lebih 50 murid tahun satu dan dua sekolah berkenaan Jumaat lalu selepas seorang guru sekolah itu yang mengajar di kelas mereka disahkan positif Covid-19.

"Saya bimbang selain berdebar menunggu keputusan sama ada saya disahkan positif Covid-19 atau sebaliknya.

"Setiap hari, saya dan ibu menunaikan solat waktu dan solat hajat supaya kami serta semua rakan sekolah bebas daripada pandemik ini," katanya dihubungi.

Menurut Aimy Zahra Nasuha yang tidak sabar untuk pulang ke rumah, dia juga bersyukur kerana bapa, Saiful Jefri Sulong, 45, dua abang dan saudara mara sentiasa mendoakan keselamatannya serta ibu.

Sementara itu, Hasmida yang juga kakitangan sebuah agensi kerajaan mengakui sedih dengan perkara terbabit.

Katanya, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia ketentuan Tuhan.

"Saya berdebar menunggu keputusan ujian saringan anak dan seandainya keputusannya positif, saya dan suami reda dengan apa yang berlaku.

"Sehingga kini, saya tidak tahu keputusan ujian yang pertama dan hari ini, Aimy Zahra Nasuha menjalani ujian calitan kali kedua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 7:52pm
    d