mutakhir

Wanita gagal mohon pencelah kali kedua

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang mendakwa isteri bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu, hari ini sekali lagi gagal dalam permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes saman Datuk Seri S Vell Paari supaya keadaan kesihatan mental Samy Vellu ditentukan oleh mahkamah.

Peguam RSN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin menolak permohonan kedua wanita itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

"Hakim (Wong Chee Lin) menolak permohonan ini atas alasan keputusannya yang menolak permohonan sama sebelum ini adalah muktamad. Mahkamah juga memerintahkan pemohon (Rosaline) membayar kos RM5,000," katanya kepada pemberita selepas pendengaran permohonan itu.

Ditanya, mengapa pihaknya memfailkan permohonan kedua, Rayer berkata, permohonan pertama anak guamnya ditolak Wong atas alasan permohonan itu pramatang kerana mahkamah belum lagi memerintahkan prosiding inkuiri berhubung kesihatan mental Samy Vellu diadakan.

"Kami berpendirian, memandangkan hakim menyatakan permohonan pertama adalah pramatang, maka kami memfailkan permohonan yang sama buat kali kedua," katanya dan memberitahu permohonan kedua difailkan pada 22 September lalu.

Peguam itu berkata, pihaknya memfailkan rayuan terhadap keputusan bagi permohonan pertama pada 18 September lalu, manakala rayuan untuk keputusan bagi permohonan kedua akan dibuat dalam masa terdekat.

Pada 11 September lalu, Wong menolak permohonan pertama Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari dengan kos RM5,000 selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak dan pada hari sama mahkamah membenarkan permohonan Vell Paari supaya bapanya menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam saman yang difailkan terhadap Samy Vellu bagi mengisytiharkan bahawa bapanya tidak mampu mengurus hal ehwal dirinya.

Vell Paari, 58, memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Disember tahun lalu, memohon perintah mahkamah supaya satu siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental bapanya dan sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Beliau memohon perintah bahawa satu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dapat dijalankan terhadap bapanya mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi mengetahui tempoh bapanya menderita gangguan mental.

Vell Paari memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berkeupayaan memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) serta untuk menentukan jenis-jenis harta yang dimiliki bapanya.

Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya perunding pakar psikiatri neuro dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Tingkah Laku Neuro dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.

Jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal harta defendan.

Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa berkenaan, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta pembayaran gaji bagi ahli jawatankuasa itu.

Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.

Plaintif berkata, sejak 2017 lalu, beliau membantu bapanya menguruskan hal ehwal dan estetnya dan menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 4:06pm
d