mutakhir

Suami isteri jadi tokan dadah

Oleh Zaid Salim

Marang: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah pengakhiran pasangan suami isteri yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah apabila rumah sewa yang dijadikan 'port' pengedaran bahan terlarang itu diserbu polis, Isnin lalu.

Pasangan tokan berusia 35 dan 26 tahun dari Dungun itu ditahan bersama dua lagi lelaki dari daerah ini yang turut berada dalam rumah berkenaan di Kelulut, di sini, pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, susulan penahanan terhadap empat individu terbabit, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Katanya, serbuan di rumah sewa pasangan terbabit dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan maklumat orang awam.

Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit menyewa rumah berkenaan untuk dijadikan markas pengedaran dadah sejak dua bulan lalu.

"Mereka dipercayai sudah lama aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menggunakan taktik menyewa rumah dalam tempoh singkat sebelum berpindah ke lokasi lain bertujuan mengelak kegiatan mereka dikesan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan, pasangan suami isteri terbabit berada di hadapan rumah dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

Panik sebaik menyedari kehadiran polis, suami terbabit kemudian bertindak melarikan diri dengan masuk semula ke dalam rumah bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun, usaha untuk meloloskan diri gagal apabila lelaki terbabit ditahan ketika bersembunyi dalam tandas rumah.

"Pemeriksaan pada badan lelaki terbabit, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya pil eramin 5, syabu dan pil kuda yang dipercayai untuk dijual kepada penagih di beberapa kawasan di daerah ini," katanya.

"Hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik di dalam rumah itu juga, dua lelaki ditahan dan 30 botol plastik bertudung kuning berisi serbuk disyaki heroin yang dibalut kertas yang disembunyi dalam sebuah beg juga dirampas," katanya.

Turut ditemui dalam beg berkenaan ialah paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu dan semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM 38,151," katanya.

Menurutnya siasatan terhadap kesemua suspek mendapati lelaki terbabit memiliki sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dadah, isterinya memiliki satu rekod lampau kes penyalahgunaan dadah manakala seorang lagi lelaki dikatakan baru bebas daripada hukuman penjara.

Selain dadah, polis menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal yang disyaki motosikal curi.

Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39BAkta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 4:51pm
d