mutakhir

Pusat rawatan khas Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang [METROTV]

Oleh BERNAMA

Georgetown: Penjara Reman Pulau Pinang membuka pusat rawatan khas Covid-19 di dalam penjara itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan ramai tahanan dijangkiti wabak berkenaan.

Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail berkata, setakat ini jumlah banduan atau petugas di penjara yang dijangkiti Covid-19 masih terkawal dan banduan tidak menunjukkan sebarang simptom serta tidak bergejala.

Katanya, ujian saringan Covid-19 dijalankan setiap hari ke atas semua banduan dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang berpenyakit dan warga emas.

"Selain pusat rawatan khas itu, di dalam penjara kami turut mempunyai klinik yang lengkap dengan doktor serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM), jadi dari segi kesiapsagaan, memang pihak penjara sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Jumlah sebenar yang dijangkiti Covid-19 membabitkan banduan dan petugas dalam Penjara Reman Pulau Pinang akan dimaklumkan oleh pihak KKM kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, setakat ini, enam individu yang dijangkiti Covid-19 di penjara itu sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dalam pada itu, Mohamed Jusoh berkata, tiada pergerakan keluar dan masuk membabitkan banduan di dalam penjara kecuali ada keperluan mendesak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), manakala banduan baharu ditempatkan sementara di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai penjara sementara.

Katanya, proses sanitasi juga dijalankan oleh petugas KKM bagi membendung penularan wabak itu di penjara.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati pergerakan petugas KKM membabitkan doktor dan jururawat serta petugas sanitasi masuk ke dalam kawasan penjara itu dengan menaiki kenderaan kementerian sejak 9 pagi hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Penjara Reman di penjara berkenaan selepas saringan mendapati tujuh orang postif Covid-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 5:18pm
    d