mutakhir

Pinjam RM10,000 tetapi dipaksa bayar lebih RM100,000

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Bukan saja diugut dan diganggu setiap hari oleh ceti haram sejak tahun lalu, malah wanita berusia 57 tahun terpaksa membayar lebih RM100,000 iaitu 10 kali ganda daripada jumlah pinjamannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bayaran itu dibuat wanita terbabit kepada 11 along selepas membuat pinjaman pertengahan tahun lalu.

"Semuanya bermula apabila mangsa melayari laman web tertera iklan pinjaman wang lalu menghubungi nombor tertera.

"Mangsa diminta menyerahkan salinan MyKad, bil elektrik dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui WhatsApp untuk membuat pinjaman RM10,000.

"Mangsa membuat pinjaman kerana menghadapi masalah kewangan tanpa menyedari dia sebenarnya membuat pinjaman daripada 11 along," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas membuat pinjaman itu mangsa mendapat gangguan dan ancaman daripada along kerana gagal membayar ansuran pinjaman dan hanya mula membayar pinjaman pada Disember 2019.

Katanya, sejak itu mangsa mendakwa sudah membayar lebih RM100,000 tetapi masih diganggu setiap hari selain turut diugut.

Berikutan itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis.

"Sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan menahan lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 48 tahun di sekitar Petaling Jaya," katanya.

Katanya, semua suspek direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:39pm
d