mutakhir

Maut ditikam depan kedai runcit

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pertengkaran antara dua lelaki bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut akibat ditikam dengan objek tajam di sebuah perumahan awam di Cheras, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.03 petang tadi.

"Sebaik menerima maklumat itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa berusia 52 tahun didapati terbaring di hadapan sebuah kedai runcit di tingkat bawah perumahan awam berkenaan dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, soal siasat dilakukan terhadap saksi kejadian mendapati mangsa yang juga pengawal keselamatan dan suspek dikatakan bertengkar sebelum dia ditemui terbaring.

"Suspek pula melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian dan kini sedang diburu.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 7:50pm
d