mutakhir

Covid-19: SMA Sultan Ismail, Masjid Kampung Paya Resak ditutup

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail di Dungun ditutup lapan hari bermula hari ini hingga 15 Oktober depan selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata ujian saringan akan dilakukan terhadap kontak rapat pelajar berkenaan pagi esok.

"Selain itu, Masjid Kampung Paya Resak di Marang juga turut ditutup mulai hari ini kerana terdapat pesakit Covid-19 menunaikan solat Jumaat di masjid itu pada 2 Oktober lalu.

Masjid itu ditutup selama tiga hari hingga Sabtu ini (10 Oktober). Aktiviti nyah kuman akan dilakukan sepanjang proses penutupan di kedua-dua premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SMA Sultan Ismail adalah sekolah keempat ditutup di Terengganu selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus (5 Oktober) dan SK Padang Kemunting (2 Oktober) berikutan kes positif Covid-19 dikesan dipremis terbabit.

Sementara itu Dr Nor Azimi berkata pihaknya mengarahkan sebanyak 16 premis ditutup sementara bagi tempoh 28 September hingga 6 Oktober lepas penutupan membabitkan empat premis perniagaan, tiga sekolah, tiga klinik swasta, tiga kedai makan, dan masing masing satu masjid, tabika dan surau bagi mencegah penularan wabak itu.

Sementara itu, Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata sembilan galeri pameran di Muzium Negeri Terengganu ditutup bermula Sabtu ini hingga Khamis depan bagi kerja-kerja pembersihan dan aktiviti sanitasi dilakukan.

Beliau berkata Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dekat Kampung Laut di sini pula akan ditutup bermula hari ini hingga 15 Oktober depan bagi tujuan sama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 8:17pm
    d