mutakhir

PCS tidak bertanding PRK Batu Sapi

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Parti Cinta Sabah (PCS) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Setiausaha Agungnya, Ansari Abdullah.

Beliau berkata, keputusan itu selepas mengambil kira situasi penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

"PCS mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi yang wajib dijalankan menurut perlembagaan dan undang-undang negara kita.

"Bagi kami nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik. Sabah sedang dilanda Covid-19 yang amat teruk dan sangat jelas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 gagal membendung penularan virus itu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, Sabah tidak mampu menanggung satu lagi penularan Covid-19 susulan PRK berkenaaan.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding pada PRK itu atas alasan yang sama.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, minggu lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Batu Sapi yang terletak dalam daerah Sandakan kini diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas dikategorikan sebagai zon merah dengan mencatat 156 kes aktif Covid-19, semalam.

Kawasan lain yang turut dilaksanakan PKPB ialah Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tawau, Tuaran, Papar dan sekitar ibu negeri yang turut merangkumi daerah Penampang dan Putatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 10:31am
    d