mutakhir

Kes sporadik Covid-19 di Tanjung Kling

Oleh Hassan Omar

Melaka: Satu kes lelaki disahkan positif Covid-19 yang dicatatkan di mukim Tanjung Kling, di sini semalam dikategorikan sebagai sporadik berikutan ketiadaan sejarah perjalanan ke lokasi berisiko.

Selain itu, lelaki terbabit juga tidak berhubung atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit lain yang disahkan positif virus berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman berkata, kes berkenaan masih disiasat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) bagi mengenal pasti punca jangkitan.

"Kes sporadik adalah seseorang itu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak ada berhubung dengan kontak rapat Covid-19 tetapi disahkan positif.

"JKNM melakukan siasatan rapi kes berkenaan dan setakat ini belum mengetahui punca jangkitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, JKNM sudah menjalankan saringan ke atas semua kontak rapat lelaki terbabit.

Bagi mengelakkan kes sporadik, beliau turut mengingatkan anggota komuniti supaya sentiasa mengamalkan penjagaan diri yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sentiasa menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Sementara itu, JKNM dalam kenyataannya hari ini berkata, pesakit terbabit adalah antara tujuh kes aktif Covid-19 setakat ini, selain satu kes dicatatkan di Bukit Katil yang membabitkan pesakit baharu pulang dari lokasi berisiko tinggi.

Selain itu, mukim Merlimau mencatatkan dua kes juga pesakit baharu pulang dari lokasi itu; mukim Masjid Tanah (satu kes baharu pulang dari lokasi berisiko tinggi); mukim Ramuan Cina Kecil (satu kes saringan prapembedahan) dan mukim Sungai Baru Ulu (satu kes baharu pulang dari lokasi berisiko tinggi).

Tiada kes kematian baharu dicatatkan di negeri ini dan jumlah kematian setakat semalam kekal lima kes, manakala 257 pesakit sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 11:33am
    d