mutakhir

Lelaki jadikan kereta stor arak, rokok seludup

Oleh Omar Ahmad

Pasir Gudang: Lelaki berusia 43 tahun ditahan bersama sejumlah arak dan rokok seludup pada pemeriksaan di Jalan Tasek Seri Alam di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA5) Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki itu ditahan bersama dua kereta iaitu masing-masing Proton Wira dan Toyota Vios.

"Pemeriksaan menemui 167 karton rokok dan 192 botol arak seludup pelbagai jenama dalam dua kereta terbabit.

"Suspek menjadikan kedua-dua kereta itu sebagai stor penyimpanan rokok dan arak seludup dengan jumlah keseluruhan lebih RM111,000," katanya pada kenyataan hari ini.

Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk proses lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 3:46pm
d