mutakhir

Perak tidak sambut Deepavali tahun ini

Oleh BERNAMA

Ipoh: Tiada sambutan Deepavali peringkat negeri diadakan pada tahun ini berikutan peningkatan kes positif wabak Covid-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak semalam berdasarkan situasi semasa dan mengambil kira kepentingan awam.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi MKN negeri berkata, bagaimanapun, acara atau program lain berkaitan perayaan itu termasuk pembukaan gerai-gerai jualan seperti kebiasaan sebelum ini masih belum dibincangkan.

"Kita ambil maklum perkara tersebut kerana peniaga perlu membuat persiapan termasuk menyediakan barang-barang jualan, jadi sebarang keputusan kita akan maklumkan segera.

"Selain itu, ini juga adalah sumber pendapatan kepada peniaga kerana gerai-gerai ini merupakan tumpuan orang ramai membeli keperluan menyambut Deepavali," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan beberapa pelabur, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan Digital Perak, sebuah agensi kerajaan negeri memeterai kerjasama dengan KiplePay Sdn Bhd iaitu anak syarikat Green Packet Berhad untuk menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 5:11pm
    d