mutakhir

Tidur bawah jambatan enggan susahkan keluarga

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Lelaki berusia 57 tahun yang menjadikan lokasi bawah jambatan Sungai Triang di Kampung Mengkan, Kuala Klawang di sini, sebagai tempat tidur akan dibantu berikutan tidak memiliki rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Bakri Sawir berkata, perkara itu tidak wajar dijadikan isu berikutan ia kehendak individu itu sendiri selain dalam pengetahuan saudara terdekat.

"Bagaimanapun kami memandang serius nasib lelaki itu yang tidak memiliki rumah dan akan membantu menyelesaikan masalahnya," katanya semalam.

Beliau sudah mendengar sendiri penjelasan daripada kakak kandung lelaki itu yang ditinggal kira-kira 200 meter dari jambatan berkenaan.

"Lelaki itu sebenarnya hanya menjadikan bawah jambatan itu sebagai tempat tidur namun akan pulang ke rumah kakaknya untuk makan dan minum pada waktu siang.

"Kami turut memujuknya untuk dia tinggal sementara bersama adik-beradik lain namun dia menolak kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

"Apa yang kita boleh usahakan dalam tempoh terdekat adalah mendapatkan rumah berhampiran rumah kakaknya itu," katanya semalam.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang berkata, ketika ini pihaknya berusaha untuk menyelesaikan tempat tinggal sementara lelaki itu.

Berdasarkan penjelasan kakaknya, lelaki itu sudah tinggal di bawah jambatan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

"Kami juga berharap orang ramai tidak mensensasikan kes lelaki yang masih bujang itu bagi menjaga perasaan ahli keluarga.

"Saya juga akan membuat pemeriksaan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) berikutan ada dakwaan lelaki itu turut menerima bantuan bulanan daripada JKM selain turut mendapat perhatian pelbagai individu danpertubuhan bukan kerajaan ( NGO) yang memberi sumbangan kewangan dan makanan, "katanya.

Sementara itu Pengerusi Sedekah RM1 Malaysia Dzullidain Razali berkata pihaknya turut terpanggil membantu nasib lelaki itu dengan memberi bantuan makanan dan wang tunai, petang semalam.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 6:44pm
d