mutakhir

7 warga asing larikan diri dari pusat tahanan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Polis giat memburu tujuh lelaki warga asing yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, sekumpulan 14 tahanan yang ditempatkan di sebuah blok di pusat tahanan itu dikatakan memancat pagar sebelum meloloskan diri.

Bagaimanapun tujuh suspek berjaya ditahan semula oleh anggota dan pengawal bertugas di PTS terbabit sebelum laporan polis pada 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati semua tahanan warga Filipina dan Indonesia berusia antara 29 hingga 42 tahun itu ditempatkan di satu blok kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi.

"Ketika kejadian pengadu yang sedang bertugas sebagai penyelia terdengar suara anggota menjerit meminta tolong apabila mendapati dua tahanan sedang memanjat pagar belakang blok berkenaan.

"Sepasukan anggota dan pengawal PTS kemudiannya melancarkan operasi memburu dan mengesan semua suspek sebelum berjaya menahan semula tujuh daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua suspek adalah tahanan yang menunggu giliran untuk dihantar pulang ke negara asal masing masing.

Peter berkata, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas 'Ops Tutup' iaitu melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan semua suspek terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketujuh-tujuh suspek terbabit diminta tampil ke balai polis berdekatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari pusat tahanan yang sah," katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 11:54pm
d