mutakhir

Pesta siput kabung di Pantai Chenang

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Penduduk berpesta mengutip siput kabung yang terdampar di Pantai Chenang di sini, sejak dua hari lalu.

Fenomena itu berlaku ketika cuaca tidak menentu dan ombak kuat, setiap tahun.

Pengunjung, Husaini Salleh, 45, berkata, sejak tiga tahun lalu dia akan ke Pantai Chenang untuk mengutip siput kabung dan gembira kerana aktiviti itu disertai ramai penduduk.

"(Keadaan) meriah apatah lagi, gambar siput kabung terdampar ini (pun) tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp," katanya yang menetap di Kampung Kulala Teriang di sini.

Aminah Zainuddin, 43, dari Kampung Belak pula berkata, dia bersama dua ahli keluarganya berjaya mengutip tujuh kilogram siput kabung.

"Kalau nak kutip lebih banyak pun boleh kerana ia (siput kabung) terdampar kira-kira 1.5 kilometer sepanjang pantai ini.

"Pada pendapat saya, fenomena ini tiada kaitan dengan bencana alam kerana ia berlaku setiap tahun," katanya yang memberitahu siput kabung dikutip bukan untuk dijual sebaliknya untuk makan bersama keluarga.

Menurutnya, siput itu sedap dimasak lemak, sayur air atau dibuat kerabu tauge.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 10:59am
d