mutakhir

Lari, cuba langgar polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Subang Jaya: Panik melihat anggota polis trafik menyebabkan lelaki melarikan diri ketika cuba diperiksa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan selepas suspek berusia 20an enggan berhenti dan cuba melanggar anggota polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 188 karton rokok.

Menurutnya, sebelum itu, anggota polis trafik dalam perjalanan untuk tugasan kawalan lalu lintas di USJ Hicom. Sebaik tiba di persimpangan Persiaran Kewajipan menuju arah Jalan Persiaran Tujuan, anggota itu melihat kereta suspek dalam keadaan mencurigakan serta lelaki memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

"Anggota polis kemudian mengekori suspek hingga ke lampu isyarat berhampiran pusat beli belah Summit sebelum mengarahkan lelaki itu keluar dari kereta untuk pemeriksaan namun dia enggan dan terus memecut.

"Polis kemudian mengejar suspek hingga ke lampu isyarat USJ5 dan mengarahknya berhenti namun dia enggan malah menghimpit serta cuba melanggar motosikal ditunggang anggota polis.

"Anggota polis terbabit kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kanan menyebabkan suspek berhenti di Persiaran Kewajipan berdekatan USJ9 kerana tayar pancit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Risikian berkata, suspek berasal dari Johor dan kenderaan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Suspek direman lapan hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 11:59am
d