mutakhir

Dentuman maut

Oleh Mohd Amin Jalil

Rembau: "Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat ketika sedang memandu di lorong perlahan," kata pemandu lori, Mohd Isa Wahab, 49, menceritakan detik kemalangan menyebabkan seorang remaja maut di Kilometer 232.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, lori Isuzu dipandu Mohd Isa dilanggar kereta Toyota Yaris dinaiki remaja berkenaan bersama dua rakan lain.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar roti dari Ayer Keroh menghala ke Senawang, sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dari belakang.

Menurutnya, dia segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan selepas memastikan kawasan berkenaan selamat.

"Sebaik menghampiri kereta berkenaan, saya lihat orang ramai sedang membantu mengeluarkan dua mangsa di hadapan yang tidak tersepit.

"Saya tidak berani nak lihat mangsa yang maut kerana sepanjang 20 tahun bekerja sebagai pemandu lori, ini pengalaman pertama terbabit kemalangan maut seperti ini," katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu menyebabkan C Breanna Anne Malar, 18, yang beralamat di Skudai, Johor maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, dua lagi rakan mangsa iaitu lelaki berusia 20 tahun dan perempuan berusia 19 tahun parah.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Senawang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori yang sedang bergerak di lorong kiri.

"Kereta dinaiki mangsa terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar tebing bukit. Mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut kerana parah di kepala," katanya.

Anuar Bakri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat manakala dua rakannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 1:54pm
d