mutakhir

Covid-19: 1Utama, kelab golf Tropicana ditutup [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama dan Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya ditutup esok, berikutan sembilan individu disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, penutupan itu bagi tujuan membuat saringan kontak rapat dan proses nyahkuman.

"Sehingga kini terdapat empat kes positif di pusat beli-belah 1Utama membabitkan tiga pekerja dan seorang pengunjung premis.

"Manakala lima kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kelab golf Tropicana dilaporkan setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pekerja yang didapati positif itu dari Bahagian Kosmetik dan Wangian, aras bawah Parkson Elite serta Mac City, aras dua.

Justeru, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat berkenaan pada 30 September hingga 7 Oktober (Bahagian Kosmetik dan Wangian) serta pada 25 September hingga 30 September (Mac City) untuk tampil membuat saringan Covid-19.

"Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan saringan kesihatan di One Utama pada 14 dan 15 Oktober bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang.

"Keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh dinyatakan itu," katanya.

Bagaimanapun, Johary berkata, individu bergejala sebelum tarikh saringan itu diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 2:10pm
    d