mutakhir

Pesawah rugi sawah padi tenggelam [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Seramai 30 pesawah resah apabila tanaman padi di kawasan seluas 92 hektar ditenggelami banjir setinggi dua hingga empat meter mengakibatkan kerugian hampir RM300,000.

Kejadian berlaku susulan hujan lebat selama dua hari mengakibatkan hampir 80 peratus membabitkan sawah padi Kampung Luar dan Kampung Tersang, di sini.

Difahamkan, tanaman terbabit sepatutnya dituai pada minggu hadapan, namun kini hanya tinggal harapan.

Pesawah, Azli Jaafar, 52, berkata ia adalah kejadian kali pertama berlaku sejak lebih 30 tahun sepanjang mengusahakan sawah padi.

Menurutnya, dia percaya ia adalah banjir gelombang ketiga selepas gelombang pertama dan kedua melanda pada Ogos serta September lalu.

"Sebenarnya pesawah sudah menjangka situasi itu, namun tidak menduga berlaku sepantas ini berikutan terdapat projek tebatan sungai untuk membina jalan dilakukan berdekatan kawasan sawah.

"Fenomena banjir bukan sesuatu yang baru buat kami, tambahan pula kawasan ini memang lokasi banjir hampir setiap tahun, tetapi ia berlaku sekitar hujung November dan awal Disember.

"Malah, proses menuai padi pada pertengahan Oktober memang seperti yang dijadualkan setiap tahun," katanya.

Azli berkata demikian ketika ditemui bersama hampir 20 pesawah lain di kawasan sawah padi Kampung Luar, di sini, semalam.

Pesawah lain, Mohd Aimad Rashid, 27, mengakui terkilan tidak dapat menuai hasil selepas membanting tulang sejak Julai lalu menyebabkan dia sekeluarga hilang punca pendapatan.

Menurutnya, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi ini adalah kejadian pertama selepas puluhan tahun penduduk di kawasan itu mengusahakan sawah padi.

"Kejadian ini memberi kesan besar kepada pesawah. Mana kami nak cari duit selepas kerugian belasan malah puluhan ribu ringgit akibat banjir yang melanda secara tiba-tiba ini?

"Sekarang nasi sudah menjadi bubur, dan sebahagian besar padi kami sudah tidak dapat diselamatkan maka kami berharap pihak berkaitan dapat tampil untuk bertanya khabar atau membantu," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 2:57pm
d