mutakhir

Usung turun wanita 104kg dari Bukit Besi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Wanita seberat 104 kilogram yang sesak nafas ketika mendaki Bukit Besi, Sungai Besi-Alam Damai, Cheras di sini, hari ini diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan jam 9.38 pagi.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dibantu BBP Bandar Tun Razak dikerah ke lokasi.

"Tiba di lokasi, kami dapati mangsa yang berusia 23 tahun sesak nafas.

"Mangsa berada di ketinggian 291 meter sebelum anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal untuk menstabilkan mangsa di atas puncak.

"Mangsa yang seberat 104 kilogram dibawa turun oleh anggota dengan menggunakan pengusung," katanya pada kenyataan.

Mohd Fahmi berkata, anggota menurunkan mangsa sejauh 244 meter sebelum sampai ke kaki bukit disebabkan oleh struktur jalan yang berbukit dan curam.

"Mangsa selamat dibawa turun jam 12.52 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 3:52pm
d