mutakhir

Kerajaan bina pusat kuarantin PATI di Sabah [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mewujudkan Pusat Kuarantin Transit Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah bagi menempatkan warga asing berkaitan sebelum dimasukkan ke depot tahanan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keperluan itu dibentangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada sidang khas menteri hari ini, susulan peningkatan kes positif dalam kalangan warga asing yang ditahan di negeri itu.

Menurut Ismail, pusat kuarantin transit itu akan diwujudkan di Dewan Masyarakat Menggatal, Kota Kinabalu; Dewan Masyarakat Pekan Kinarut, Kota Kinabalu; Dewan Sibuga Batu 5, Sandakan dan Dewan Sri Gum-Gum Batu 16, Sandakan.

"Kesemua tahanan warga asing baru itu akan menjalani ujian calitan di pusat berkenaan.

"Jika didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bagi yang negatif, akan dikuarantin 14 hari di pusat tahanan berkenaan.

"Selepas itu, akan dilakukan ujian saringan kedua dan jika negatif juga, baru akan dihantar ke depot tahanan," katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersetuju mengaktifkan Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah bagi melaksanakan bantuan sokongan merawat pesakit selain Covid-19.

Beliau berkata, hospital yang mempunyai kelengkapan 100 katil itu akan dijadikan wad pembedahan trauma, kecemasan, wad bersalin dan lain-lain.

"Lapan pegawai perubatan dan 54 anggota lain-lain pangkat terdiri daripada seorang komander, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan," katanya.

Selain itu, katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel ujian calitan ke makmal di Semenanjung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 5:53pm
    d