mutakhir

JBPM jalankan sanitasi di Kompleks Sekolah Bestari Presint 8

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya melakukan proses sanitasi di Kompleks Sekolah Bestari Presint 8 di sini, hari ini.

Kompleks itu menempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1).

Timbalan Penguasa Bomba Che Shaari Abdullah yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya ketika dihubungi berkata, kerja-kerja sanitasi dilakukan lapan anggota JBPM yang diketuai beliau sendiri, mengambil masa lebih satu jam.

"Kesemua anggota melakukan proses sanitasi dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap. Lokasi yang diberikan tumpuan termasuklah kelas, tangga, dewan serbaguna, bilik guru, surau dan pondok pengawal," katanya.

Che Shaari berkata, selain pasukan sanitasi dari JBPM, turut melakukan sanitasi hari ini ialah petugas dari SWCorp dan Alam Flora Sdn Bhd.

Beliau berkata, pasukan sanitasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya terdiri daripada 12 anggota, yang melakukan kerja-kerja sanitasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu dan sehingga kini belum ada anggota pasukan itu yang didapati positif Covid-19.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, arahan sudah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah supaya SK Presint 8(1) ditutup bermula 9 sehingga 16 Oktober.

Penutupan ini dibuat berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dan membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 7:44pm
    d