mutakhir

Keadaan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu masih terkawal

Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah masih berada dalam keadaan terkawal walaupun dua kakitangan perubatannya disahkan positif Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kaedah kawalan dengan menggerakkan tenaga atau kakitangan dari kawasan lain yang tidak terjejas ke hospital terbabit.

Kata Dr Adham, operasi di hospital itu masih terkawal dan meminta supaya orang ramai kekal tenang.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, sehingga kini, dua jururawat disahkan positif Covid-19 di hospital terbabit dengan 40 jururawat lain pula sedang dikuarantin.

"Keadaan terkawal dan tidak lumpuh seperti yang dikatakan kerana ada kakitangan lain yang digerakkan ke situ selepas proses nyah kuman dan sanitasi diselesaikan.

"Setakat ini, seorang jururawat di unit rawatan rapi (ICU) positif saringan penyakit seperti influenza (ILI) di mana beliau mempunyai kontak dengan sepupu yang positif.

"Hasil pengesanan kontak, ada seorang lagi jururawat di ICU positif dan sedang dikuarantinkan," katanya dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, sebahagian besar daripada 40 jururawat yang dikuarantinkan itu mempunyai gejala dan sebahagian mereka juga mempunyai kontak rapat dengan dua kes indeks berkenaan.

Dr Adham turut memohon penduduk di Kota Kinabalu untuk kekal bertenang dan bersama-sama menentang penularan pandemik ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 10, 2020 @ 8:22pm
    d