mutakhir

Bangunan Jakess ditutup esok

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam : Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) yang menempatkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor akan ditutup kepada orang awam dan peguam, pada esok.

Unit Komunikasi Korporat JAKESS berkata, penutupan itu bagi kerja sanitasi awam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi pandemik Covid-19.

"Penutupan ini juga bertujuan bagi menjaga keselamatan orang awam yang akan datang berurusan dan seluruh warga kerja yang bertugas di bangunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan dengan itu katanya, semua operasi dan perkhidmatan termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh, pendaftaran kes, wakalah peguam Syarie, pentadbiran afidavit dan janji temu pengambilan perintah bertulis membabitkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan Mahkamah Rayuan Syariah Selangor ditangguhkan.

"Pelanggan yang dijadualkan menghadiri prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh atau janji temu pengambilan perintah pada tarikh tersebut akan dihubungi oleh pihak Mahkamah bagi penetapan tarikh baharu.

"Bangunan berkenaan akan dibuka semula dan beroperasi sepenuhnya kepada orang awam dan peguam pada Selasa, 13 Oktober.

"Segala kesulitan yang timbul akibat penutupan ini amatlah dikesali," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 8:17am
    d