mutakhir

Tiga sekolah di Kedah tutup hingga 17 Okt

Oleh Safuri Kamaruddin

Baling: Tiga sekolah di Baling dan Pokok Sena ditutup mulai hari ini sehingga 17 Oktober berikutan penularan Covid-19 dalam kalangan warganya.

Menerusi pekeliling dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, tiga sekolah ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling serta SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Susulan itu semua pelajar, guru dan warga sekolah dikehendaki menjalani kuarantin serta patuh prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan.

"JPN Kedah memutuskan menutup sementara semua kelas di sekolah berkenaan dan guru serta kumpulan pelaksana dibenarkan bekerja dari rumah, manakala pembelajaran secara dalam talian," kata pekeliling itu.

Sementara itu, tinjauan di SMK Baling pagi ini, mendapati pagar utamanya ditutup dan tidak kelihatan warga sekolah di pekarangan.

Difahamkan, langkah diambil susulan seorang pelajar sekolah itu yang menjadi kontak rapat kepada ahli keluarga yang positif Covid-19.

Kedah merekodkan lebih 1,200 kes positif setakat semalam, membabitkan Kluster Tembok di Kota Setar dan Pokok Sena serta Kluster Tawar di Baling.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 11:09am
    d